Assalamualaikum w.b.t
Apabila disebut sahaja tentang ibadah, pasti ramai yang mengeluh. Solat 5 waktu tu pun sudah dirasakan berat, apatah lagi mahu melakukan ibadah yang lain. Tambahan pula di Bulan Barakah, Ramadhan ini, di mana kita diwajibkan berpuasa bagi yang mampu. Seluruh tubuh dirasakan amat lemah walhal bulan Ramadhan ini lah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat lincah menghayun pedang ke medan perang. Allahuakbar! Bagaimana mahu menarik orang memeluk Islam andai ibadah yang dilakukan amat berat sehingga mata-mata luar yang memandang pun merasakan Islam adalah agama yang berat.
Sebelum mengupas tajuk lebih lanjut, mari kita lihat dua situasi.
Situasi A : Seorang lelaki yg solat 5 waktu, tetapi masih mencuri dan menipu ramai orang.
Situasi B : Seorang lelaki yang solat 5 waktu, tetapi amat takut untuk melakukan kesalahan walaupun tiada sesiapa yang melihat.
Pelik kan?
Firman Allah s.w.t : “Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar” [surah al-‘Ankabut : 45]
Pelik tetapi benar. Ini lah perkara yang acap kali berlaku pada zaman sekarang. Ramai umat Islam yang masih melakukan perkara-perkara terlarang sedangkan solat itu pendinding daripada melakukan kesalahan. Apa puncanya? Nah, kerana mereka kurang arif atau lebih tepat lagi, masih jahil mengenai hakikat ibadah.
Hakikat ibadah adalah motivasi yang perlu ada dalam diri jika mahu melakukan ibadah. Kalau nak berjaya dalam pelajaran kita perlu motivasi, begitu juga jika mahu berjaya dalam ibadah. Maka, apakah motivasi ibadah itu?
1) Merasakan banyaknya nikmat Allah dan merasakan keagungan Allah
Kunci kepada ibadah adalah perasaan. Ramai yang sudah hilang perasaan atau perasan mereka lebih agung daripada Pencipta yg Esa sehingga kufur nikmat Ilahi. Allahuakbar! Hidup penuh dengan perasaan takabbur, memandang tinggi diri sendiri dan memandang hina orang lain. Lupakah dia pada Pencipta yang Esa? Setiap mata yang berkelip, setiap nafas yang dihembus, setiap organ yang berfungsi semuanya adalah nikmat Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Apabila seseorang bersikap angkuh, dia sebenarnya sedang menghina dirinya sendiri di mata Allah dan di mata manusia. Imam Baihaqi meriwayatkan dalam kitab Syu’ab al-Iman daripada Umar al-Khattab katanya : “Sesiapa yang bertawadhuk kerana Allah, maka Allah akan mengangkat darjatnya. Ia sangat hina dimata sendiri namun sangat mulia di mata orang lain. Dan sesiapa yang menyombongkan dirinya, maka Allah akan merendahkannya sehingga sangat besar di mata sendiri tetapi sangat hina di atas orang lain.”
Alangkah indahnya andai ibadah itu dihiasi perasaan bersyukur atas tiap pemberian Tuhan. Perasaan sedar diri bahawa kita tidak punya apa-apa, hanya menagih kasih, mengharapkan pemberian Allah untuk terus menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini.
2) Tujuan ibadah
Maka, apabila perasaan merasakan nikmat dan keagungan Allah sudah lahir dalam hati, kita perlu tahu untuk apa kita beribadah? Ibadah ini sebenarnya adalah cara terbaik untuk kita menunjukkan rasa merendah diri, rasa kecintaan dan ketundukan kita kepada Pencipta Agung Allah s.w.t. Perasaan indah itu akan membuatkan ibadah kita lebih indah. Tunduk dan sujudnya kita pada Pencipta dengan perasaan kesyukuran yang tidak terhingga. Tunduk dan sujudnya kita pada Allah dengan merasakan yang kita tidak punya apa-apa, cuma sebagai hamba yang hanya mengharap dan menagih simpati Tuhannya untuk hidup. Subhanallah! Ibadah yang seperti itulah yang Allah janjikan mampu mencegah kita daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.
3) Hasilnya?
Ibadah yang dilakukan akan membentuk peribadi-peribadi yang punya perasaan takut. Kerana sedarnya akan nikmat Allah, kerana tahu bahawa ibadah adalah cara terbaik untuk mengucapkan kecintaan, ketundukan kita pada Allah, maka hasilnya ibadah ini akan kita lakukan dengan sangat khusyuk dan berhati-hati kerana takut Allah tidak menerima ibadah yang tidak sempurna. Kita juga akan menjadi peribadi yang sentiasa mengharap dalam ibadahnya, mengharap bahawa ibadah itu adalah ibadah yang cantik, ibadah yang berkualiti untuk dipersembahkan kepada Allah. Allahuakhbar!
Kesimpulannya, marilah kita berusaha menghidupkan ibadah-ibadah yang dilakukan dengan menyemai perasaan tawadhuk, menyedari hakikat ibadah dan beribadah dengan penuh ketakutan dan pengharapan. Solatlah seperti solat Saidina Abu Bakar, kerana hanya dengan melihat Abu Bakar bersolat sahaja, beberapa orang memeluk Islam.
InsyaAllah, semoga setiap ibadah yang kita lakukan mampu menahan kita daripada melakukan dosa dan semoga kita mampu mencerminkan keindahan Islam melalui ibadah dan sekaligus menarik mata-mata luar yang memandang Islam.
Selamat menjalani ibadah kerana Allah!
The author can be contacted at zuerkone123@yahoo.com
Wassalam
0 comments:
Post a Comment