Saturday, December 12, 2015

Warkah buat Sahabat

Ke hadapan sahabatku yang 'menjauh',

Salam,

Apa khabar disana?

Aku dengar kau sedang melalui alam baru, di tempat baru.

Bagaimana di sana? Semua baik-baik sahaja?

Oh aku, aku sihat saja. Macam biasa, masih kuat makan. Heh.

Umm… aku harap, kau di sana baik-baik sahaja.

Aku harap, kau masih kuat macam dulu. Bersemangat! Haha

Umm… tadi, aku terjumpa gambar kita yang dulu.

Heh. Terus terkenang masa dulu.

Kau ingat tak, ada satu program tu yang kita pergi bersama, kita ramai-ramai kena kongsi kereta?
Berhimpit 6 orang dalam satu kereta. Kalau masing-masing kecik tak apa.. haha

Atau ada masa kita kena travel jauh untuk program mukhayyam di hutan..? Masak sama-sama, mandi sama-sama, tadabbur Quran sama-sama, tak cukup tidur sama-sama, senak perut sebab silap masak pun sama-sama. Oh, ngeri sungguh! Haha.

Kau masih ingat, ketika kita diberi taujih oleh akh-akh yang hebat, syuyukh-syuyukh yang berhikmah, ustaz-ustaz yang berilmu, masa tu, semuanya rasa tak mustahil.

Kau masih ingat masa-masa kita qiam dulu, kemudian paginya kita main bola, sarapan bersama..?

Aku sengaja tolak kau ke group talam lain, supaya kau tak habiskan makanan ditalam ku.

Wahahaha… sungguh jahat.

Tapi kau, aku tahu kau makan banyak, ada masa kau sengaja habis awal, beri peluang pada yang lain makan puas. Sebab sebelumnya kita sering makan bersama, dan aku tahu kau bagaimana.

**** 

Dan kau, masih ingat pada malam itu? Saat kau meluahkan masalahmu, meluahkan kerisauanmu, seolah tiada rahsia antara kita. Namun aku, hanya berdiam diri, tak mampu berkata apa-apa. Hanya mampu menitipkan doa untukmu.senyap-senyap dalam hatiku. Hanya mampu memujukmu sehabis daya ku.

Aku tahu bukan mudah hidup yang kau lalui.

Dan sungguh, aku tak mampu untuk memimpin mu ke akhir jalan ini.

Kerana hidup ku juga berliku. Bahkan, aku terlalu lemah!

Saat aku mendengar hadis,

“Seorang orang beriman (mukmin) adalah cerminan kepada orang beriman yang lain”

Aku merasa terpukul berkali-kali.

Aku bukan mukmin. Lantas apa yang berlaku kini, apa yang terjadi pada hubungan kita, boleh jadi kerana silapku. Rosaknya hubungan kita, adalah cerminan rosaknya iman ku. Aku lemah dalam menggenggam tangan mu. Aku lemah dalam meyakinkanmu ada cahaya di hujung jalan. Aku lemah dalam perilakuku. Gagal memberi contoh terbaik untukmu.

Ya, aku lemah!

Aku memerlukan masa membina diri ku kembali.

Dan dalam masa yang sama, kau berlalu pergi.


****


Kau masih ingat ayat surah Ali-Imran 3:103..?

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

Ini antara ayat kegemaran kita dulu.

Saat kita menghargai persaudaraan sesama kita.

Saat kita teguh diatas jalan-Nya.

Namun kini…

****


Carilah! Carilah kembali mereka yang mampu memberikan persaudaraan sebegini kepadamu.

Ukhwah yang lebih baik dari yang kuberi.

InsyaAllah, aku akan menunggumu di bahu jalan ini. Menoleh ke kanan dan kiri. Menjengah ke depan dan menoleh ke belakang.

Kalau-kalau aku ternampak kau. Kalau-kalau kau kembali.


****

Tapi kalau aku tiada, maafkan aku. Aku benar-benar bersalah atas apa yang berlaku.

Moga kita bertemu di suasana yang lebih baik. Suasana yang tiada pemisah antara kita. Kita bersahabat semula. Makan bersama seperti dulu. Tidak disini, aku harap di sana.

Aku merinduimu, sahabatku.

Benar-benar rindu. Tak tipu.


Yang ikhlas mencintaimu, sahabatku



tulisan: kemeja petak dan kopiah

1 comment:

  1. a good article. indeed, apa yg dari hati pasti sampai kepada hati.

    ReplyDelete