Thursday, March 3, 2011

PENTINGNYA MENJAGA PEMAKANAN

Assalamualaikum w.b.t


PENTINGNYA MENJAGA PEMAKANAN

Makan dan minum adalah ibadah yang penting dalam Islam. Menurut Muslim, Ahmad dan Tarmizi, makanan yang haram menjejaskan hubungan seseorang dengan Allah, ini berdasarkan kata-kata Nabi Muhammad s.a.w :

Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnye menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadah tangannya dan berdoa kepada Allah, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram. Bagaimana akan diperkenankan permohonannya?

Di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 168, Allah memerintah orang Islam mengambil makanan yang mempunyai 2 kriteria iaitu halal dan baik :

“Wahai manusia, makanlah apa-apa yang ada diatas muka bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu.”

BERDISIPLIN DALAM MAKAN DAN MINUM

Dalam Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali menyenaraikan 7 adab sebelum makan yang perlu dijaga :

1. Memastikan makanan dari sumber yang halal

2. Membasuh tangan

3. Meletakkan makanan di dalam bekas yang diletakkan di atas lantai kerana ia melatih diri tawaduk. Namun, sekiranya makanan diletakkan diatas meja tanpa melampaui batas, ia tidaklah dilarang

4. Duduk dengan cara yang betul. Dilarang makan sambil bersandar

5. Berniat supaya makanan itu mendatangkan kekuatan untuk beribadah kepada Allah

6. Bergembira dengan rezeki yang terhidang dan bersyukur

7. Berusaha supaya tidak makan seorang diri tetapi bersama-sama dengan orang lain walaupun daripada kalangan keluarga dan anak sendiri

Imam Ghazali juga menyenaraikan beberapa adab ketika makan yang perlu dijaga supaya makanan itu diberkati Allah

1. Mulakan dengan bismillah dan doa

2. Makan dengan tangan kanan

3. Mengunyah dengan baik

4. Jangan dicaci sebarang makanan

5. Sebaik-baiknya dijamah makanan yang terdekat kecuali buah-buahan

6. Jangan menghembus di atas makanan yang panas. Tunggu dengan sabar

7. Jangan makan berlebihan

8. Apabila terpaksa minum air, pastikan ia sedikit saja kecuali bila perlu. Maksudnya jangan makan berulamkan air

Tunjuk ajar dari Imam Ghazali mengenai adab selepas makan

1. Berhenti makan sebelum kenyang

2. Menjilat jari

3. Membasuh tangan

4. Berdoa

5. Mengeluarkan makanan yang terlekat dicelah gig atau flossing

6. Banyak bersyukur kepada Allah

7. Beristighfar supaya diampunkan Allah andai kata terdapat unsur-unsur syubhah dalam makanan

CARA DUDUK YANG MEMBANTU PENGHADAMAN

Menurut Bukhari, Tarmizi dan Abu Daud, Nabi Muhammad berkata

“Janganlah kamu makan sambil bersandar”

Ibn Majah, Abu Daud dan an-Nasai, Nabi Muhammad juga melarang seseorang makan dan minum dalam keadaan baring

“Sesungguhnya Rasulullah melarang seseorang makan dalam keadaan berbaring di atas mukanya ataupun meniarap”

Kedudukan yang betul ketika makan dapat membantu proses penghadaman.

Selain itu, Rasulullah juga melarang seseorang terus tidur selepas makan. Di dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Abu Nuaim disebutkan

“Rasulullah melarang seseorang tidur selepas makan kerana perbuatan itu boleh mengeraskan hati.”

Banyak kajian menunjukkan senaman ringan seperti berjalan selepas makan malam membantu kesihatan disamping memudahkan tidur.

CARA MINUM YANG BETUL

Menurut Tarmizi, Rasulullah berkata

“Janganlah kamu habiskan minuman dengan satu teguk seperti unta tetap minum dengan dua ataupun tiga teguk. Sebut Bismillah apabila minum dan selesai dengan memuji Allah”

Menurut Bukhari dan Muslim, Anas bin Malik melaporkan

“Rasulullah minum dengan tiga nafas”

Imam Muslim melaporkan kata-kata tambahan

“Cara minum yang seperti ini lebih menghilangkan dahaga, lebih menyihatkan dan lebih menghadamkan”

MEMBASUH TANGAN DAN MENJILAT JARI

Berhubung dengan membasuh tangan, menurut Tarmizi dan Abu Daud, Rasulullah berkata

“Keberkatan makanan terletak pada amalan berwuduk sebelum dan selepas makan”

Perkataan berwuduk dalam hadis ini merujuk kepada membasuh tangan. Dan perbuatan ini mendatangkan keberkatan.

Umat Islam dididik untuk menghargai makanan dengan menjilat jari kerana setiap makanan itu mempunyai zat yang tersendiri walaupun sedikit. Ini sejajar dengan hadis Rasulullah yang dilaporkan dari Muslim dan Kaab bin Malik

“Rasulullah makan sesuatu dengan menggunakan tiga jari dan baginda menjilat jari-jari sebelum mengesat tangan”

From Nur Syazwani

0 comments:

Post a Comment