Benih
cita-cita itu telah tersemai, bersama seribu pengharapan untuk menggapainya.
Kaki pula melangkah setapak demi setapak, agar mampu untuk berpijak kukuh di
pengakhirannya. Namun, hidup tidak sebiasa itu , mengejar matlamat tidak
semudah seperti yang didongengkan dalam cerita Jack dan Kacang Ajaibnya. Benih
kacang Jack mampu untuk bercambah dalam satu malam sehinggakan pada keesokan
harinya dia mampu untuk menjangkau awan. Tapi benih kacang kita bagaimana?
Secara hakikatnya, ia jauh lebih teruji malah super-duper jalan kita penuh dengan liku.
Keyakinan untuk mencapai cita-cita
kian menurun sedikit demi sedikit. Memikirkan banyak perkara mesti dibereskan. Terperangkap
dalam pembacaan nota yang perlu diulang pada tahap seratus kali, assignment yang memenuhkan meja pada level kritikalnya, presentation yang perlu disiapkan bagai sepantas bullet train. Peluh mula terpercik di
dahi. Ah.. mampukah aku berjuang? IQ pula hanya ditingkat biasa kalau ingin
dibandingkan dengan mereka yang mempunyai IQ 200. Yang paling tepat lagi ialah
“Mampukah aku berjuang dalam kekurangan?”.
Sepantas kilat itu, hormon adrenalin
mula keluar daripada tempat persembunyiannya menuju ke dalam aliran darah.
Bersedia dengan perisai dan pedang untuk melawan musuh-musuh yang menceroboh
sejurus memberi arahan kepada jantung untuk terus bekerja dengan kuatnya. Bacaan
tekanan darah menunjukkan ia ditahap kritikal! Allah. STRESS!!
Begitulah situasinya yang menghimpit
kita, tapi itu adalah perkara biasa dalam perjuangan. Apakah ia dinamakan
perjuangan kalau bukan perlu bersusah payah? Bahkan memang Allah menciptakan
manusia dalam keadaan susah-payah.
“ Sesungguhnya, Kami
telah menciptakan manusia sentiasa dalam perjuangan susah payah.”
(Terjemahan
Al-balad;90:4)
Secara hakikatnya, kita
terus-terusan berjuang. Dari sperm bertemu ovum, dari merangkak hingga berlari,
dari belajar ABC hingga mengenal kompleksnya huruf. Semuanya memerlukan
perjuangan yang susah. Jika tidak ada perjuangan, maka itu tidak dinamakan
kehidupan. Kerana dari segi teorinya,
HIDUP = BERJUANG
Sehinggakan
bijih benih yang kita semai juga memerlukan perjuangan. Biji durian contohnya,
ia juga perlu berusaha dengan kuatnya, membelah tanah yang gersang.
Bagaimanakah ia mampu tumbuh kalau bukan dengan berjuang? Apatah lagi dengan
perjuangan mengejar cita-cita yang kita impikan. Sedar tak sedar, sebenarnya
sekarang kita sedang membelah tanah untuk mematangkan cita-cita kita. Bukankah
begitu?
Jom, kita berbalik pada zaman ke 2
Hijrah. Ketika mana tercetusnya peperangan Badar Al-Kubra. Melihat mereka yang
hanya 313 orang yang serba kekurangan dan dengan hanya 2 ekor kuda jika ingin
dibandingkan dengan musyrikin yang mempunyai 100 ekor kuda. Ya. Mereka juga
berjuang dalam kekurangan. Adakah mampu untuk melawan tentera musyrik yang
jumlahnya berlipat kali ganda? Secara logiknya. TIDAK. Tetapi mereka tidak
berundur malah terus mara dengan satu keyakinan mencengkam yang sentiasa berkobar-kobar.
Memulakan langkah dalam perjuangan. Sehinggakan Allah menghadiahkan mereka
pertolongan para malaikat yang berbondong-bondong ramainya.
“Sesungguhnya
Aku akan menurunkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang
berturut-turut.”
(Terjemahan
Al-anfal;8:9)
Tidak mustahil bagi Allah untuk
menurunkan kepada kita malaikat-malaikat seperti mana di Badar. Yang penting,
tetaplah berjuang dan bekerja keras walaupun sehingga terpaksa berputih mata,
kerana pengakhirannya adalah bukan sahaja kemenangan tetapi yang paling penting
adalah redha Tuhan.
“Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah
bekerja keras menuju tuhanMu, maka kamu akan menemuiNya.”
(Terjemahan
Al-insyiqaq;84:76)
Subhanallah..
mudah-mudahan..
Demi satu kejayaan perlu
pengorbanan,
Keazaman juga ketabahan,
Inilah kehidupan menuntut
kesungguhan,
Tak semudah indahnya khayalan.
(Seiring
sehaluan-UNIC)
Berjuanglah
meskipun dalam kekurangan, kerana itulah yang memberi makna dalam kehidupan.
Wallahualam.
Editor: Wahida Amalin binti Ab Razak
Biro Akademik dan Tarbiah 2012/2013
0 comments:
Post a Comment