Apabila diwahyukan kepada Musa, “Pergilah engkau kepada Firaun!
Sesungguhnya dia sungguh melampau!” Musa tergamam seketika. Menitis keringatnya
membasahi muka. Tanpa ragu-ragu, Musa terus merayu kepada Allah. “Ya Rabb! Aku
khuatir dengan seruanMu ini. Mana mungkin aku mampu melakukannya dengan
kelemahanku ini. Aku gagap bila berkata-kata apatah lagi berhadapan dengan
kehebatan Firaun yang dikagumi seantero Mesir ini. “Izhab ila firauna innahuu
to’ghoo”. Sekali lagi seruan ini memasuki ruang hati Musa. “Ya Rabb, daku ini
sungguh hina dengan dosaku membunuh manusia yang tidak bersalah pada suatu
ketika dahulu.” Tangis manusia ini. Musa dengan penuh rasa rendah dirinya menadah
tangan ke langit memohon kepada Sang Pencipta dan menantikan sesuatu yang
menenangkan jiwanya seperti mana peristiwa tongkatnya bertukar menjadi ular yang
besar dengan izinNya.
Lalu, bergemalah satu suara, “Pergilah engkau
bersama saudaramu, Harun membawa kebenaranKu. Berbicaralah kamu berdua kepada Firaun
dengan kata-kata yang lemah lembut, moga-moga Firaun sedar dan takut.” Doa Musa
diperkenankan oleh Allah dan dimanifestasikan di dalam kitab umat Muhammad
s.a.w, Al-Quran, Surah Toha (Surah yg ke-20). Terus, Musa dan Harun
menyampaikan kebenaranNya tanpa ragu-ragu dengan penuh tekun dan gigih,
dipenuhi dengan ancaman dari anasir Firaun hinggakan nyawa mereka berdua
terancam di persisiran Laut Merah.
Inilah sorotan kisah 2 manusia agung yang dihiasi
dengan makna persahabatan Ilahi. Jika Musa (a.s) berada bersama-sama dengan
kita, pasti Nabi Musa mampu menceritakan pengalaman saat-saat indah dan manis
bersahabat dengan Nabi Harun (a.s) dalam mencari redha Allah. Hikmah kisah ini
sudah terpancar cahayanya jika kita cuba sedaya upaya memahami makna cinta persahabatan
hakiki di dalam surah tersebut. Realitinya, tidak mungkin kita mampu hidup
keseorangan. Nabi Musa sendiri mengakuinya dan memerlukan Harun untuk
melaksanakan tugas dakwahnya. Definisi “hidup keseorangan” itu ialah DERITA!!
Pasti setiap dari kita mempunyai seorang atau lebih sahabat karib dalam
perjuangan kita dan menemani setiap ceritera suka dan duka tanpa mengira waktu
dan tempat. Dengan adanya sahabat karib,
kita gembira, bergelak ketawa, marah, kecewa, sedih, gundah gulana dan pelbagai
warna perasaan yang dapat kita rasakan. Ah, manisnya bersahabat!
Kalau
dilihat makna persahabatan dalam ideologi Kapitalisme, mereka kejam! Bersahabat
untuk mendapatkan keuntungan duniawi dari manusia itu dan mengambil peluang ke
atasnya sebelum dia mengambil peluang terhadap kita. Makhluk manusia ini
sungguh khianat dalam memberi definisi persahabatan!! Maka, jelaslah bahawa
hanya Rabbul Izzah sahaja yang mampu mendefinisikan dengan sempurna. Persahabatan
hakiki. Persahabatan yang membawa insan-insan
yang berukhwah keranaNya berpegang
tangan gah menuju ke syurga Allah yang abadi. Bukankah itu “sweet”? Adakah ada
perkara lain yang se”sweet” ini? Allahu Allah.
“...ingatlah
nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuhan, lalu Allah mempersatukan
hatimu, sehingga dengan karuniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan ketika
itu, kamu berada di tepi jurang api neraka lalu Allah menyelamatkan kamu dari
sana....” (3:103)
Persahabatan yang diredhai oleh Allah terjalin hanya
dengan ikatan iman yang kukuh disertai dengan amal yang ikhlas keranaNya dan
langsung tidak sekelumit pun dibezakan dengan pertalian darah dan bangsa.
Mereka saling tolong menolong untuk mendekatkan diri mereka ke kebun-kebun
Syurga dan nasihat-menasihati di kala antara mereka mendekatkan diri ke lautan
api neraka. Itulah makna persahabatan yang diredhai Allah seperti mana yang pernah
dirasai oleh Musa dan Harun. Tak lupa kepada Abdullah Ibn Maktum dan Mus’ab bin
Umair yang berukhwah kerana dakwah islami yang kita rasai di saat ini. Sesungguhnya,
sahabat kita merupakan aset dunia dan akhirat. Mereka juga antara faktor
penyebab kita terus menerus merasai nikmat syurga tanpa dihisab atau punca kita
terus menerus merasai azab api neraka yang pedih tanpa ragu-ragu oleh Allah!
Nauzubillah!! Allah s.w.t menggambarkan keadaan itu di dalam Surah Al-Anfal,
ayat 38:
“....Setiap
kali suatu umat masuk, DIA MELAKNAT SAUDARANYA, sehingga apabila mereka telah
masuk kesemuanya, berkatalah orang yang masuk belakangan kepada orang yang
masuk terlebih dahulu, “Ya tuhan kami, mereka telah menyesatkan kami.
Datangkanlah seksaan api neraka yang berlipat ganda kepada mereka”....” (7:38)
Kawan. Sahabat. Teman. |
Terasa kesat-kesat
mata dan berair sedikit. Sahabat! Kenapa kamu bersikap begitu bila di hadapan
Allah? Kenapa kamu tidak berterus terang kepada ku ketika kita bersama? Bukankah
kamu sudah berjanji kita akan bersahabat sehidup dan semati? Allah, tangisan
ketika itu tidak lagi berguna. Benarlah bahawa sahabat itu aset penting untuk
dunia dan akhirat. Bawalah sahabat bersama-sama dengan diri kita ke arah
ketakwaan dan keimanan. Hanya dengan itu sahaja cara membawa 2 manusia yang
bergelar sahabat menuju syurga Allah. Seperti Musa dan Harun. Kasih sayang dan
tulus ikhlas yang dikongsikan bersama pasti tidak akan sia-sia kerana apabila
keimanan dan ketaqwaan menjadi tunjang asas persahabatan tersebut, maka tidak
ada lagi ragu-ragu bagi mereka mengejar kegembiraan yang abadi di dunia dan
akhirat. Diakhiri penulisan ini dengan 2 dalil mengukuhkan makna persahabatan
Ilahi.
Sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:
Pasti
mendapat kecintaanKu bagi dua orang yang sayang menyayangi keranaKu, dua orang
yang duduk bersama-sama keranaKu, dua orang kunjung mengunjungi keranaKu, dan
dua orang yang tolong menolong keranaKu.
Ditambah lagi dengan kata-kata Rasulullah Muhammad s.a.w yang
bermaksud:
Sesiapa
yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada
mencintainya melainkan kerana Allah.
Malu untuk ku katakan kepada kamu. Saya cinta kamu kerana Allah, sahabat!
Sudikah kamu menjadi sahabat seperti Harun? J
Email penulis: filhaqiqatulislah@gmail.com
0 comments:
Post a Comment