Assalamualaikum WBT.
Mungkin sudah agak terlambat untuk membincangkan hal ini, tetapi cuba anda dengar lagu di bawah ini.
http://www.youtube.com/watch?v=lSEXCuc6ak0
Pernah dengar tak? Ingat tak?
Salam Maal Hijrah.
Hijrah itu sendiri bukan sekadar bermakna perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW tetapi juga membawa maksud berpindah dari satu keadaan atau situasi kepada sesuatu yang lebih baik.
Allah berfirman :
"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah baik dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan." (At-Taubah, 9:20)
Oleh itu, marilah kita bersama-sama mencuba untuk melakukan penghijrahan kita. Mengubah diri ke arah kebaikan, ke arah yang lebih positif . Sesungguhnya, Allah telah menjanjikan kemudahan untuk orang-orang yang bersungguh-sungguh melakukan hijrah tersebut.
Selain itu, adakah anda sedar bahawa bila bercakap soal awal Muharram, mesti kebanyakan daripada kita semua akan terus “tune in” lagu di atas. Pada pendapat saya, lagu di atas berjaya digubah dengan baik kerana sedikit sebanyak dapat membuat kesimpulan daripada peristiwa sejarah Islam yang gemilang itu. Bagi sesiapa yang lahir dalam lingkungan umur saya mesti sinonim dengan lagu ini kerana sewaktu sambutan Maal Hijrah kumpulan nasyid pasti akan menyanyikan lagu ini, malah turut dimainkan di kawasan sekolah dan akhirnya lagu ini tersemat di dalam ingatan kalian. Dengan itu, tidak mudah untuk kita melupakan serba sedikit tentang peristiwa hijrah dan kepentingannya dalam Islam.
Sedar tak sedar sebenarnya lagu-lagu sebegini memainkan peranan yang penting dalam membentuk akhlak seseorang. Masih ingat tak lagi sewaktu zaman kegemilangan nasyid seperti kumpulan Raihan, Hijjaz dan Rabbani. Bagaimana sewaktu itu anak-anak kecil menyanyikan lagu-lagu memuji kebesaran Allah SWT, berzikir dan berselawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Mungkin mereka tidak memahami maksud disebalik lirik nasyid tersebut namun lidah telah dilatih untuk menyebut kalimah-kalimah Allah SWT, ingatan telah dilatih untuk mengingati Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan akhlak telah dibentuk mengikut cara Islam. Kanak-kanak juga mempunyai ingatan yang kuat, dan saya yakin rakan-rakan pasti masih mengingati paling kurang satu daripada lagu-lagu nasyid tersebut.
Walaupun kumpulan-kumpulan nasyid sebegini sudah lagi tidak aktif, namun lagu-lagu sedemikian harus dinaikkan semula untuk membimbing kita dan juga anak-anak di masa hadapan supaya sentiasa ingatkan Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan Islam. Malah lagu-lagu nasyid sebegini juga mempromosikan pembentukan akhlak yang mulia. Seperti pepatah Melayu, kalau melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Kemunculan Maher Zain yang menyanyikan lagu berbentuk dakwah dalam bahasa Inggeris boleh dijadikan contoh yang baik memulihkan semula industri nasyid yang kian pupus. Mesej yang disampaikan bersesuaian dengan konsep dakwah dan penggunaan bahasa Inggeris membolehkan lagu-lagu beliau difahami oleh seluruh dunia.
Sesungguhnya tujuan artikel ini bukanlah untuk bercakap tentang muzik atau artis semata-mata tetapi sebagai satu renungan buat semua bagaimana muzik boleh digunakan untuk membentuk seseorang. Dan cara yang sama juga digunakan oleh orang kafir untuk menyesatkan kita dengan mepropagandakan lagu-lagu mereka yang melalaikan.
Saya akhiri artikel ini dengan satu soalan:
Sila sebutkan nama-nama Rasul.
*anda mesti sedang menyanyikan lagu nama-nama Rasul yang diajar sewaktu di tadika dulu kan? *
Artikel dikarang oleh Saudari Nazren Othman. Boleh dihubungi di jamloceng_12am@yahoo.com
Assalamualaikum..
ReplyDeletemana ada lmbt.. hijrah tu proses berterusan kan..
Waalaikumussalam ya akhi, bro Rahimi.
ReplyDeleteBenar sekali. hehe cuma sebenarnya, penulis maksudkan lambat dari segi mencapai target sebab pelan asal adalah untuk meletakkan artikel ini sebelum 1 muharram.
Terima kasih atas perkongsian idea dan ziarah. Moga Allah merahmati =)
-Amir Al-Asyraf ;-)