Tuesday, September 27, 2011

Jenayah Dalam Islam: Hudud dan Terroris

Assalamualaikum wbt.
Bismillahirrahmanirrahim.

1. Apa khabar semua?

2. Tak dengar, kuat lagi please. APA KHABAR SEMUA?

3. Ok, takpelah saya tak dengar. Yang penting biarlah tulisan kali ini datang dari skrin, terus jatuh ke hati.

4. Saya cuma terdetik untuk menulis tentang isu hudud apabila agak terkejut dengan 'keberanian' pihak media Utusan Malaysia yang menyiarkan karikatur tentang hudud semalam, hari Isnin, 26 September 2011.

5. Terlebih dahulu, jangan terlalu cepat melihat isu ini dari sudut politik, kerana walaupun saya percaya isu ini tidak boleh lari daripada pengaruh politik, biar ulasan saya pada kali ini lebih menjurus ke arah penilaian daripada seorang Muslim yang mengaku sayangkan Islam dan peka dengan persekitarannya.

6. Ingat, bukan saya sorang saje. Anda pun Muslim juga. Jika anda sahabat saya yang bukan Muslim, insya Allah, saya doakan terbuka hati saudara/ri untuk belajar Islam dan Al-Quran. 

Ini gambar karikatur yang saya maksudkan
7. Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui apa niat sebenar kartunis ini maka biarlah Allah sendiri yang membalas dengan balasan yang baik atau buruk, berdasarkan niatnya, yang hanya Allah yang tahu.

8. Pun begitu, pandangan peribadi saya meyakinkan saya bahawa kartun ini cuba membawa mesej bahawa hukum hudud ini adalah hukum yang tidak lagi relevan dan lapuk yang sesuai hanya dengan persekitaran orang zaman dahulu tetapi sekarang hanya tinggal memori dan sejarah.

9. Tapi satu lagi kemungkinan, jika dilihat dari aspek politik, mungkin juga kartunis bermaksud untuk menyatakan yang parti politik PAS cuba menghidupkan kembali agenda lama atau klasik mereka iaitu tentang menegakkan hukum hudud, setelah buat seketika agak diam mengenai hudud, kononnya atas alasan mendapat tentangan daripada DAP dalam Pakatan Rakyat atau mungkin juga sebagai strategi menarik sokongan rakyat bukan Islam.

10. Padahal sebenarnya, jika kena caranya, DAP dan orang bukan Islam bukannya takut, malah menyokong hukum hudud! Tapi mengapa ini semua terjadi? Saya akan huraikan sat (sekejap) lagi. Ok, berbalik kepada persepsi bukan politik! hehe..

11. Sebagai seorang Muslim, kita sama sekali tidak patut menghina hukum Allah, kerana itu seperti lagak orang yang seolah-olah lebih pandai daripada Penciptanya. Ini mustahil!

12. Maka saya amat berharap agar kita berdoa yang kartunis ini dibuka hatinya untuk bertaubat dan memohon ampun kepada Allah dan seluruh umat Islam. 

13. Walaupun semakin banyak isu-isu berkaitan umat Islam yang kita dengar sejak akhir-akhir ini, termasuk isu filem Hantu Bonceng, saya ingin mengajak agar kita mengambil sikap proaktif dan positif dalam menanganinya.

14. Pertama, sikap proaktif bermaksud, apabila apa jua isu berkaitan  Islam dipanaskan di kuali negara kita, maka cubalah tunjukkan contoh pendekatan yang baik kepada orang bukan Islam.

15. Selain menunjukkan rasa tidak setuju, perkara yang paling utama adalah untuk memperbetul salah tanggapan yang wujud bukan sahaja dalam kalangan bukan Islam, tetapi orang Islam kita sendiri.

16. Masih ingat tak isu penggunaan nama Allah sebelum ini? Saya secara positif melihat, bila perkara ini menjadi perbincangan di seluruh Malaysia, ia sebenarnya membuka mata banyak pihak untuk mengenali Islam dengan lebih dekat. 

17. Dengan kata lain, banyak penerangan tentang konsep 'Tuhan itu wajib satu' mula tersebar sekaligus menyampaikan mesej Islam yang cantik ini.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik..."
Surah An-Nahlu (16:125)

18. Begitu juga dengan isu hudud, kita yang Muslim pun kadang-kadang jadi takut sebab kita tak mendapat gambaran yang sebenar tentang hukum hudud.

19. Saya yakin, ada antara kita yang pernah mengambil gula-gula di kedai tanpa izin sewaktu zaman kecik-kecik atau nakal-nakal dulu mesti takut akan tergadai tangannya. Padahal tanggapan itu tidak tepat.

Nota kilat: Hukum hudud bukan hanya terhad kepada potong tangan, sebat juga dalam kategori hudud.

20. Yang perlu dijelaskan ialah mekanisme dan cara pelaksanaan hukuman ini. Ini yang kita selalu lupa padahal inilah yang membuka mata kita semua.

21. Pertama sekali, syarat-syarat untuk dikenakan hukuman ini cukup ketat. Contohnya, jika seseorang itu mencuri kerana terdesak dan hidup penuh kemiskinan, sepatutnya pemerintah yang harus bertanggungjawab kerana tidak menyediakan persekitaran masyarakat yang kondusif.

22. Yang akan menerima hukuman ialah pesalah yang betul-betul 'layak' dan bukannya dalam keadaan terdesak, tetapi memang hobinya mencuri walaupun dia kaya raya.

23. Selain itu, ada juga penetapan dari segi jumlah atau nilai (harga) barang dan harta benda yang dicuri. Yang menjalankan hukuman pula ialah hakim yang adil, bukannya pemerintah yang suka-suka hati membuat keputusan sehingga mungkin boleh menyebelahi anak-beranaknya.

24. Dengan kata lain, Islam telah menggariskan syarat yang cukup cantik dalam pelaksanaan hukum hudud ini.

25. Saya menerima baik cadangan ilmuwan agama yang mahukan Kelantan (kerana buat masa ini hanya Kelantan yang betul-betul berhasrat melaksanakan hudud) untuk meneliti dahulu persekitaran di Kelantan dan Malaysia amnya sebelum melaksanakan hudud.

Nabi s.a.w bersabda:

“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan.”
(Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi. Hadis dinilai sahih oleh al-Albani)

Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:

“Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”

Dalam riwayat Abu Daud: “Jangan dipotong tangan ketika pemusafiran.” 
(Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani).

26. Hadis di atas menunjukkan bahawa dalam keadaan tertentu, hukum hudud tak semestinya dilaksanakan. Maka, persekitaran yang kondusif ini penting, supaya hukum Allah apabila dilaksanakan, akan mencapai hasrat atau Maqasid Syariahnya, iaitu menjaga kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

27. Antara contoh persekitaran kondusif yang dimaksudkan adalah dengan memastikan rakyat faham akan cara pelaksanaan hukum ini. Kedua, kerajaan Kelantan juga perlu mencari jalan melepaskan diri daripada 'campur tangan' kerajaan pusat (Malaysia) yang mungkin tidak bersetuju lantas memburuk-burukkan pelaksanaan hudud ini  sekaligus boleh mendatangkan huru-hara.

28. Selain itu, kita juga harus memastikan keadilan ditegakkan sebaiknya. Hukuman hudud bukan hanya dikenakan kepada orang awam, bahkan pemimpin pun akan menerima nasib yang sama jika mereka melakukan jenayah seperti mencuri!

29. Inilah keadilan Islam dan inilah juga cabarannya. Maka saya sekali lagi menyokong penuh hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud, dalam masa yang sama berharap agar kita tidak terlalu tergopoh gapah dalam hal ini, sebaliknya sama-sama membantu mempromosikan syariat Islam yang betul agar rakyat benar-benar boleh meraih manfaat daripadanya melalui ilmu yang sahih, dan bukan setakat mengikut membuta tuli.

30. Izinkan saya untuk mengulangi, bahawa dengan pendekatan yang betul serta sikap yang positif apa jua yang berlaku di negara kita boleh disalurkan ke arah kebaikan umat Islam sejagat.

31. Contoh yang saya beri ialah, apabila isu sebegini timbul, ia membuka ruang untuk lebih banyak penganjuran wacana ilmu, dan rakyat sama ada Islam atau tidak mempunyai minat yang lebih tinggi untuk mencari jawapan mahupun maklumat tentang Islam.

32. Oleh sebab kita masih di bulan September, elok juga kiranya sebagai penutup saya kaitkan isu yang saya bicarakan di atas dengan tragedi 11 September yang berlaku 10 tahun yang lalu.

"Dan mereka (orang-orang kafir) membuat tipu daya, maka Allah pun membalas tipu daya. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya."
Surah Ali-'Imran (3:54)

33. Tragedi ini adalah yang paling pelik dan melucukan buat kita yang suka membaca. Bukan sahaja ia tak logik untuk dikaitkan dengan pengganas Islam, malah jika dikaitkan bagaimana sekalipun, itu bukan ajaran Islam yang sebenar!

34. Saya tak bercadang untuk menghurai panjang tentang 'konspirasi' yang tak masuk akal ini, tapi anda boleh rujuk sendiri di rujukan nombor 4 yang saya sediakan di bawah. Sedikit sebanyak, ia memberi penjelasan yang baik tentang tipu helah musuh Islam.

35. Tapi yang hendak saya sampaikan sekarang lebih penting. Rujuk Surah Ali-'Imran di atas. Ada satu perkara menarik yang berlaku di sini.

36. Tahukah kita, di negara Barat, semakin ramai rakyat mereka yang memeluk Islam, walaupun setelah kononnya diwar-warkan bahawa Islam agama pengganas?

37. Dianggarkan lebih 20 000 rakyat Amerika Syarikat yang masuk Islam setiap tahun. Dan negara Barat memang mencatatkan kadar penukaran agama kepada Islam yang cukup rancak!

38. Pada saya, ini sepatutnya sudah cukup membuka mata kita. Sikap terpuji orang Barat ialah mereka suka mengkaji. Maka, walaupun mungkin asalnya bermotivasikan kegeraman dan dendam, setelah mendalami Islam dengan lebih teliti dan mempelajari Al-Quran, mereka 'cair' dengan kebenaran dan bersyukur kerana akhirnya dapat menemui Tuhan!

39. Inilah dia kekuasaan Allah. Pada pandangan mereka orang akan takut dan jauh daripada Islam. Padahal dengan rancangan jahat mereka, Allah SWT telah menggerakkan hati mereka untuk mengkaji Islam sehingga mereka sendiri menjadi Muslim subhanallah!

40. Akhir sekali, inilah sikap yang saya mahu kita ambil. Agak susah untuk orang mendengar bila kita sampaikan Islam dalam bentuk penyataan.

41. Tetapi jika mereka sendiri menimbulkan persoalan, dan kita balas dengan jawapan yang baik dan penuh hikmah maka ini bukan sahaja membuka jalan membuang salah tanggapan terhadap Islam, malah menjemput sahabat bukan Islam di negara kita untuk bersama menyertai keluarga Islam di negara tercinta ini.

42. Dengan kata lain, bersikap positiflah dan carilah hikmah!

Wallahuaklam, Allah lebih tahu. Segala yang baik semua sekali hanya milik-Nya. Maafkan saya jika ada sebarang kesilapan, maka itu kelemahan saya. Saya alu-alukan pembetulan daripada saudara/ri.

Ibnu Hanaffi,
amirulasyrafhanaffi.blogspot.com

Muat turun di sini
Rujukan:

1. http://drmaza.com/home/?p=1617
2. http://www.onislam.net/english/news/americas/453668-911-curiosity-leads-americans-to-islam.html
3. http://www.tayibah.com/eIslam/jenayah_Islam.htm
4. http://chedet.cc/blog/?p=595

0 comments:

Post a Comment