Monday, October 13, 2014

Coklat Solat


Tahukah anda, bahawa solat itu boleh rasa lebih enak dari coklat?



Ya. Lebih best dan sedap dari coklat Toblerone, Daim, Cadbury dan Cokolat celup, celup celup! (ok.lame…)

Sama ada kita sedar ataupun tidak, solat itu perkara asas bagi seorang Muslim.

Bila kita bercakap soal asas, bermakna ia permulaan bagi segala sesuatu. Maksudnya, apa saja yang kita lakukan dengan asas yang rosak, ia tidak akan pergi ke mana. Ibarat sebuah bangunan, jangan bermimpi untuk pasang arial radio terbesar berbentuk bulan sabit, jika asas atau foundation kepada bangunan itu rapuh dan tidak lengkap. Apatah lagi jika rosak dan langsung tiada.

Ibarat juga seperti kita sekarang. Bagaimana kita mampu membaca dan menulis sekarang, dengan teks yang panjang dan sukar, tanpa kita selesaikan perkara asas dahulu iaitu; belajar mengenal huruf dan mengeja.

Jadi kemana saja kita akan pergi dan berkembang, jika asas sudah tidak lengkap, penghujungnya juga tidak akan lengkap.

“Orang yang mengambil ringan tentang sembahyangnya akan lebih mengambil ringan dalam soal yang lain” 
(Rufai’ bin Mihran)


Akan lebih mengambil ringan dalam hal yang lain…. Ohoi~

Oleh kerana solat ini begitu penting, ada hadis keras dari Rasulullah s.a.w yang menyentuh perihal solat.


 Nabi saw bersabda yang bermaksud : “Pemisah antara seorang hamba dengan kekufuran dan keimanan adalah solat. Apabila dia meninggalkannya, maka dia melakukan kesyirikan.” (HR. At-Thabari)


Dengan hadis ini juga Umar al-Khattab pernah mengatakan : “Tidak ada bahagian dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat”.


Bahkan seorang tabien yang bernama  Abdullah bin Syaqiq beliau mengatakan: “Dulu para shahabat Muhammad saw tidaklah pernah menganggap suatu amal yang apabila ditinggalkan menyebabkan kafir kecuali solat”.(Lihat As-Tsamar Al-Mustathab fi Fiqhis Sunnah wal Kitab, ms. 52)

Gulp. Terasa palpitation.

Sememangnya, tidak lengkap hidup kita sebagai seorang Muslim tanpa solat. Serius.
Kalau tidak solat, ibarat rasa macam pen, yang tak boleh tulis. Ibarat macam kedai 7eleven,yang tutup waktu malam, bahkan rasa seperti phone yang mahal2, tapi kemek dalam seluar.. Seram tak perasaan tu?

Maka solatlah. Selagi nyawa masih ada.




Side Effect Solat


Ya. Ada side effect setelah kita menjamah solat ini. Solat yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Dan side effect yang hadir ini tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Kita sedar tak, selepas solat kita rasa sedikit tenang?

Rasa sedikit lapang?

Adakah kita yang mengawal perasaan itu? Tidak.

Melainkan itulah tanda, bahawa diri kita diciptakan, untuk Dia. Kembali pada fitrah.

Kerana hati itu hanya akan tenang, dengan perkara fitrah yang menyenangkan. Ia tidak akan tenang dengan perkara yang kotor. Susah sebenarnya untuk rasa tenang lepas mendengar muzik metal. Tapi dengan deruan air, kicauan burung, nah. Hati itu sudah berbicara bahasa yang nyaman. Rasa lapang..

Bahkan, Rasulullah dan para sahabat meletakkan solat ini, bukan sebuah ritual berat, tapi sebuah pertemuan yang merehatkan.

Nabi s.a.w bersabda, “Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat.”(HR Imam Ahmad)

Nah..itu yang kita mahu.

Supaya solat ini, rasa seperti mendengar deruan air, kicauan burung. Bahkan lebih lagi.
Bukankah itu masanya kita bertemu janji dengan Allah yang membangunkan kita hari itu? Yang menghidupkan kita pada waktu itu?

Jadi tidak pelik jika ketika solat, terasa getaran hati itu. Luluh air mata berderai mengingatkan diri, mengingatkan Tuhan.. tambah2 ketika solat bersendirian, saat dunia masih lagi sedang tidur.

Hanya kita dan Dia.

Hanya kita dan Dia...


Tak dapat nak diungkapkan kata-kata. Hanya mereka yang pernah merasa akan tahu. Dan rugilah jika kita tidak bercadang untuk merasa. Rugi, kerana mata itu tak mampu menangis untuk Tuhannya, tetapi mampu menangis dengan hal-hal dunia. Seolah mata itu tidak berguna. Hanya menambah dosa, demi dosa..

Uh!

Jadi inilah solat yang diajar Baginda s.a.w.

Solat, dengan hati yang berhubung dengan Penciptanya. Dengan hati yang hidup dan bernyawa.



Achievement unlocked-Level Upgraded.


Yaanda solat. Bagus.

Tapi, err..napa solat Zohor pukul 4? Solat subuh ke Dhuha tu? Solat Dhuha ada qunut ek? (kantoi) Uish..lajunya. Tengah senam robik ke…

Ya. Sudah tiba masanya untuk kita perbaiki solat kita.

Jika sebelum ini kita hanya solat dibilik, cuba kali ini turun ke surau. Solat awal waktu. Berjemaah. Jangan bimbang, anda tidak perlukan GPS untuk itu. Bawah blok anda sahaja.. Aish!

Terasa berat nak ke surau/masjid? Tiba-tiba graviti bumi tidak stabil pulak masa tu. Berat betul graviti di kaki.. Yang peliknya,dia seorang je rasa..

Hmm.. Itu mungkin gangguan jin kott.. Dia tak nak melepaskan member dia ke kancah dan lembah ke’surau’an yang sungguh dahsyat dan penuh cahaya ini.

Terpulanglah.

Kesian jugak jin tu sorang-sorang. Tiada sape nak teman.

Nanti kat akhirat, dia boleh teman anda juga kan..

Waah.. BFF ni. Friendship forever… and ever.

Jeles i...… (tgn ke bahu, mata ke atas)

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda maksudnya: “Demi Tuhan yang diriku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku pernah hendak menyuruh para sahabat untuk mencari kayu api, lalu aku menyuruh agar bersolat jemaah. Seterusnya, aku menyuruh seseorang untuk mengimami orang ramai, sementara aku tidak ikut solat berjemaah kerana mencari rumah orang yang tidak mengikuti solat berjemaah, lalu aku bakar rumah mereka.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini bukan lah sunnah Baginda untuk kita terus statik dan tiada peningkatan dari segi amalan. Semua orang pasti bermula dengan kosong. Tapi itu tidak bermaksud kita juga perlu berakhir dengan kosong.

Lihat Umar r.a, dia bermula sebagai seorang pemuda musyrik semasa Jahiliyyah, tetapi akhirnya menjadi khalifah ummah. Dari pemuda yang banyak bergaduh dan berlumba, kepada pemimpin yang bertaqwa. Kuncinya,dia mahukan perubahan pada dirinya. Dia mahukan kebaikan.



Dia mahukan kebaikan, lalu dia akan sentiasa memeriksa dirinya.

Jadi persoalannya sekarang, adakah anda masih lagi tidak merasa solat berjemaah di awal waktu di masjid dan surau sebagai perkara baik? Jika anda tahu itu perkara baik, apa yang menghalang anda?

Jujur.

Apa yang menghalang kita dari menerima kebaikan itu?

Adakah the fact that yang kita tak yakin? Atau rasa berat?

Bukankah perkara baik, layak untuk kita usahakan? Dari perkara yang sebaliknya?

Lalu apa sebabnya…?

Takkan sebab jin lagi kott….. Aish!




Ada sebuah hadis dari Jabir r.a, katanya: “Bani Salimah bermaksud hendak berpindah tempat di dekat masjid. Berita itu sampai kepada Rasulullah s.a.w., kemudian beliau s.a.w. bersabda kepada Bani Salimah itu: “Sesungguhnya saja telah sampai berita kepadaku bahawa engkau semua ingin berpindah ke tempat di dekat masjid?”
Mereka menjawab: “Benar, ya Rasulullah, kita berkehendak sedemikian itu.”

Beliau s.a.w. bersabda lagi: “Wahai Bani Salimah, tetaplah di rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah langkah-langkahmu itu – pahala melangkahkan kaki dari rumah ke masjid itu pasti dicatat sebanyak yang dijalankan. Jadi tidak perlu berpindah ke dekat masjid. Tetaplah di rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah langkah-langkahmu itu.”
(Riwayat Muslim)


Jika kita lambat, ada kelas, ada lab, ada kerja dan sebagainya, cuba solat juga di surau/masjid.

Jika kita tidak mampu dapat pahala solat awal waktu, dapat pahala untuk setiap langkah pun jadi lah.
Tak dapat pahala solat jemaah, sekurang-kurangnya dapat fadhilat dari 7 golongan yang mendapat naungan ketika di padang Mahsyar pun ok jugak.. (iaitu insan yang hatinya berada di rumah Allah)

Demi kebaikan kehidupan akhirat kita kelak.

Kerana mati itu pasti, maka kita perlu mempersiapkan diri walaupun ketika waktu kita muda. Sememangnya waktu kita muda!

Rugilah nikmat pemuda/pemudi itu, andai hidup tidak seperti pemuda. Tiada semangat. Tidak membawa perubahan. Khususnya diri sendiri.

Sedangkan nilai pemuda dalam Islam sangatlah hebat. Islam tidak akan tiba ke kawasan kepulauan Melayu ini tanpa dimulakan dengan pemuda yang bersih, tersusun, bervisi dan bermisi dengan hala tuju nya seperti Mus’ab bin Umair, Anas bin Malik, Muadz bin Jabal, Abu Ubaidah ibn Jarrah, dan lain-lain.

Adakah anda mahu menjadi pemuda/pemudi itu?

Maka, perbaikilah solat mu. Sempurnakan ia. Tunaikan hak kamu dengan Tuhanmu.

Tambahlah juga dengan solatsolat sunat yang lain.

Hidup ini bukan sekadar kelas, komputer, katil, couple (ehem.). Ia sangat luas lagi.

Tanpa anda perlu menjadi insan lain, anda hanya perlu menjadi edisi diri anda yang terbaik.

Mat yang suka main bola, masih sama, bezanya, sekarang dia ada nilai taqwa.

Mazlin yang suka bersembang dan ceria, masih sama, bezanya, sekarang dia ada nilai al-haya’.

Umar masih umar, tapi dia menjadi Umar edisi syurga. Jadi, apa yang menghalang anda?

Jadi jom kita sama2 menjadi diri kita yang lebih baik!

Edisi syurga biiznillah!

Jagalah solat anda. Kerana segalanya, bermula dengan solat. Segalanya.

Kita selesaikan perkara asas ini dahulu.

Ok?

Senyum.




Dinukil oleh: life mannequin

2 comments:

  1. Dhuha ada je qunut.. Qunut nazilah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah kerana saudara/i cakna tentang perihal tersebut. Dan memang benar kata-kata saudara/i. Kami tidak menafikannya. :)

      Delete